Monday, 16 January 2012

MASAK LEMAK CILI API UDANG DAN CENDAWAN

Hari ni menu makan tengah hari request Iman, anakku yang keempat. Tiba-tiba Iman teringat yang kakakku yang sulong pernah memasak menu ini semasa majlis tahlil abang iparku tak lama dulu. Dengan lutut yang masih belum sembuh sepenuhnya aku keluar untuk mencari bahan-bahannya. Dan bila sampai sahaja di rumah semuanya kukerah untuk menolongku di dapur.
Bahan-bahannya:
500 gm udang sederhana besar
1/2 kg santan
10 biji cili api (kalau nak pedas lagi boleh tambah)
serbuk kunyit
garam
bahan perasa
3 batang seri dititik
2 helai dun kunyit 

Cara membuatnya
1. Masukkan cili api yang telah ditumbuk bersama serbuk kunyit di dalam periuk.
2. Masukkan sedikit air.
3. Masukkan serai dan daun kunyit
3. Masukkan udang, biarkan seketika.
4. Masukkan santan.
5. Bila mendidih masukkan cendawan, garam dan bahan perasa.
6. Biarkan seketika dan sedia untuk dihidangkan.





     Resepinya agak mudah dan bahan-bahannya senang didapati. Oleh sebab lama tak menjamah menu macam ni sebaik sahaja nasi masak, sekali lagi kami makan masak lemak udang cendawan ini dengan tekun sekali bersama sambal belacan dan ikan masin bulu ayam.....meleleh peluh dibuatnya..darihaticikgusuzie..

AYAM MASAM MANIS

Menu ayam memang menjadi satu kemestian setiap kali saya memasak. Anak-anak dan suami memang penggemar ayam terhebat di rumah. Mujurlah ada buku 1 Hari 1 Resepi tulisan Chef Hanieliza yang memang saya gunakan sepenuhnya. Hari ini di samping ikan senangin masak taucu saya ada juga memasak Ayam   Masam Manis.
Bahan-bahannya:
Bahan A
500 gm isi ayam
5 sudu makan sos tomato
3 sudu makan sos cili
1 sudu teh gula
1/2 cwn gula
2 biji tomato (dipotong baji)
3 biji cili merah (dipotong serong)
3 biji cili hijau (dipotong serong)
Minyak untuk menggoreng
1/2 biji capsicum hijau (dipotong dadu)
Bahan B ( dikisar)
3 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan C (sebagai hiasan)
Saya gunakan cendawan butang

Cara membuatnya
1. Goreng ayam hingga masak - jangan sampai garing dan ketepikan
2. Tumiskan bahan kisar hingga wangi
3. Masukkan cendawan butang cili merah, cili hijau, capsicum, air, sos tomato, sos cili dan gula
 - biar hingga mendidih
4. Masukkan ayam dan tomato. Biarkan sebentar.
5. Angkat dan hidang.








   Memang resepi ni mudah untuk disediakan. Bagi anak-anak yang tak suka makan pedas macam anak saya memang resepi ini sesuai. Suamipun suka. Ada anak-anak yang meratah saja lauk ni. Cubalah..darihaticikgusuzie...

ASAM PEDAS IKAN MERAH

Sebenarnya bila keluar mencari ikan untuk dimasak taucu semalam, saya ada juga membeli ikan merah. Rancang nak masak asam pedas kegemaran saya. Asam pedas ni memang pernah saya masak di sekolah semasa murid-murid dicutikan semasa bermulanya peperiksaan PMR dua tahun lepas. Tetapi pada masa itu saya menggunakan ikan pari dan ikan kembung. Tetapi hari ini walaupun ada menu masak lemak udang cendawan tetapi oleh sebab nak juga makan asam pedas ikan merah maka dengan keadaan jalan yang terjengket-jengket saya gagah juga memasak.
Bahan-bahannya
Bahan A
1 ekor ikan merah sederhana besar (dipotong 4)
10 biji kacang bendi
1 ikat daum kesum
2 batang bunga kantan (saya tak masukkan sebab tak dapat jumpa di mana-mana kedaipun)
2 biji tomato
Bahan B
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
20 tangkai cili kering 
1 sudu makan jintan putih
(bahan B diblend bersama)
2 sudu makan serbuk kari
garam dan bahan perasa

Cara membuatnya
1. Tumis bahan B sehingga naik baunya.
2. Masukkan serbuk kari
3. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan tomato
4. Masukkan air
5. Masukkan ikan
6. Bila sudah mendidih masukkan kacang bendi.
7. Biarkan seketika dan sedia untuk dihidang.



Mudah bukan. Kawan-kawan saya kata resepi saya memang mudah untuk diingat dan bahan-bahannya senang didapati. Rasanya bolehlah tahan macam asam pedas yang lain cuma saya tak gunakan asam jawa ataupun asam keping. Cukup dengan tomato sahaja hehe...Setakat hari ni tak pernah pula suami komplen yang asam pedas saya tak sedap hehe. Maklumlah suami saya sukanya makan masakan saya sahaja jadi tak ada bezanya asam pedas saya dengan asam pedas orang lain..darihaticikgusuzie...

Saturday, 14 January 2012

IKAN SENANGIN MASAK TAUCU


     Entah mengapa tiba-tiba saja tekak ni teringin nak makan ikan masak taucu. Dengan keadaan lutut yang  tak berapa nak baik ni saya sempat juga ke kedai untuk mencari bahan-bahan untuk masak  taucu ikan. Tak banyak pilihan ikan di sini. Jadi ikan senangin sajalah pilihan saya. Memang tak sabar nak masak hari ni setelah lima hari dapur tak berasap kerana sakit lutut. Alhamdulillah...hari ni operasi memasak bermula lagi.



Bahan-bahannya:
Bahan A
3 ekor ikan senangin sederhana besar (dipotong 2)
serbuk kunyit
garam
Bahan B
4 biji bawang merah
4 biji bawang putih
1 labu bawang besar
2 inci halia
3 biji cili hijau
10 biji cili padi
(semua bahan B dihiris)
2 senduk taucu (saya membasuhnya untuk mengurangkan rasa masin)
4 sudu besar gula
1 sudu bahan perasa
Cara membuatnya:
1.  Ikan digaram dan dikunyitkan dan digoreng sehingga masak.
2.  Tumis bahan B sehingga naik baunya.
3.  Masukkan taucu, gula dan bahan perasa.
4.  Masukkan ikan yang telah digoreng tadi.
5.  Sedia untuk dihidang.

Baunya memang menaikkan selera. Apalagi setelah nasi masak saya dan anak-anak mengadap penuh selera...darihaticikgusuzie..



Thursday, 12 January 2012

AYAM GAJUS


Ini lagi satu resepi yang saya cuba dari buku resepi Hanieliza. Memang menjadi dan suami cukup suka.
Bahan-bahannya:
Bahan A
600 gm isi ayam (dipotong dadu)
1 sudu makan tepung jagung
1 sudu teh garam
Bahan B
100 gm kacang gajus goreng
3 tangkai cili kering (dipotong)
2 labu bawang besar Holland (dipotong dadu kasar)
4 ulas bawang putih (dihiris)
2 inci halia (dipotong)
1 biji capsicum hijau
3 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos tomato
1/4 cwn air
2 sudu makan minyak masak


Cara membuat
1. Gaul isi ayam dengan garam dan tepung jagung
2. Goreng ayam hingga masak dan tepikan
3. Goreng cili kering dan ketepikan
4. Tumishalia, bawang putih hingga garing, masukkan bawang besar
5. Masukkan capsicum, isi ayam, sos tiram, sos tomato dan sedikit air
6. Biarkan kering dan tutup api
7. Masukkan gajus dan kacau rata. Sedia dihidang.


     Suami cukup suka ayam gajus ni lebih-lebih lagi ada gajus yang garing. Kepada sesiapa yang sukakan pedas tambahkan sedikit cili kering yang telah diblend. Yummy...yummy...Silalah cuba. Gerenti jadi. darihaticikgusuzie.

AYAM HALIA



     Assalamualaikum semua...sebenarnya resepi ini telah lama dicuba cuma tak sempat nak N3 kan sahaja akibat terlalu banyak kerja di sekolah. Resepi Ayam Halia ini cukup mudah dah saya rasa agak rugi tidak mencubanya kerana sekali dicuba gerenti jadi. Mulanya ayam halia ini terbiar sahaja di atas meja makan tidak disentuh namun setelah Aiesyah mencubanya anak-anak yang lain terus mengambil pinggan. Licin tidak berbaki.
Bahan-bahannya:
Bahan A
500 gm isi ayam
3 sudu makan sos tiram
1 sudu teh tepung jagung (dibancuh dengan 1/2 cwn air)
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 pokok daun bawang
1 biji tomato (dipotong 4)
2 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Bahan B
3 inci halia
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah

Cara membuat
1. Panaskan minyak, tumiskan bahan yang dihiris
2. Masukkan ayam dan masukkan sedikit air
3. Biar ayam masak sehingga lembut
4. Masukkan bancuhan tepung jagung, sos tiram, serbuk lada hitam dan garam
5. Biarkan hingga pekat
6. Masukkan tomato dan daun bawang, kacau rata
7. Sedia dihidangkan.

Cukup mudah sebab semua bahan ada di rumah. Memang benar seperti yang tertulis di kulit buku 1 Hari 1 Resepi tulisan Chef Hanieliza yang gerenti jadi itu. Cubalah. darihaticikgusuzie




Saturday, 31 December 2011

NASI TOMATO

Sudah hampir 2 minggu buku masakan 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza saya beli. Namun masih tidak berkesempatan untuk mencuba resepi-resepi yang termuat di dalam buku tersebut. Jadi sebagai penutup tahun 2011 ini pagi-pagi lagi saya keluar untuk mencari bahan-bahan untuk membuat nasi tomato. Antara bahan untuk membuat nasi tomato ialah:
Bahan A
5 cawan beras dicuci dan ditoskan (saya gunakan beras Faiza Basmathi)
1/2 cwn susu cair
4 biji tomato (dicincang)
3 sudu makan minyak sapi
Garam secukup rasa
6 cawan air
Daun pandan disimpul
2 batang serai
1 kotak kecil kismis (saya tak letak - terlupa)

Bahan B
(untuk menumis)
3 ulas bawang putih (dihiris)
5 biji bawang merah (dihiris)
1 inci halis (dihiris)
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang.

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak sapi, tumiskan bahan tumis, serai dan daun pandan sehingga wangi.
2. Masukkan tomato, garam dan gaul rata.
3. Masukkan kismis, susu cair, air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan bahan tumis ke dalam beras di dalam periuk nasi. Biarkan masak.
5. Apabila nasi sudah kering, kacau rata tetapi jangan sampai hancur.



Nasi tomato yang menggunakan beras basmathi ini memang sedap dan lembut. Anak-anak bertambah2 nasi bila memakannya. Nasi tomato ini sedap dimakan dengan ayam masak merah, dalca dan jelantah. Resepi dalca dan jelantah adalah resepi saya sendiri manakala resepi ayam masak merah saya ambil daripada buku masakan tulisan Chef Hanieliza.
Bahan-bahannya:
Bahan A
1 ekor ayam
1 labu bawang besar (dipotong gelang)
2 sudu makan sos tomato
Minyak masak
Garam dan gula secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan B (dikisar)
15 tangkai cili kering
2 inci halia
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 batang serai
4 biji tomato

Cara-cara membuatnya:
1.  Ayam dipotong kecil, dibersihkab, digaulkan dengan garam dan kunyit goreng sehingga masak.
2.  Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar sehingga garing.
3.  Masukkan ayam, sos tomato, bawang besar, garam dan gula.
4...Gaulkan sehingga sebati dan rata.






Sebenarnya dulu-dulupun saya pernah membuat nasi tomato tetapi dengan menggunakan resepi saya sendiri. Namun setelah mencuba resepi dari buku masakan 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza ini, resepi beliau ternyata lebih sedap...yummy..yummy...silalah cuba...darihaticikgusuzie...

Sunday, 18 December 2011

COKLAT CHIP KUKIS

Assalamualaikum semua,
Kali kedua saya bersiaran hari ini. Kali ini saya nak mencuba kukis dari resepi Sumber Ilhamku yang saya dapati selepas menyelongkar dapur rumahnya siang tadi...hehe...Rupa-rupanya resepinya sungguh mudah untuk disediakan dan kali ini saya mendapat khidmat Iman dan Aiesyah untuk membantu saya untuk membuatnya.
Bahan-bahannya
2 cwn tepung gandum
1 cwn butter
1 1/4 gula perang
2 biji telur
3/4 soda bikarbonat
3sdt vanila
2 cwn coklat chip
3 sudu serbuk koko (saya tambah)


Cara-caranya
Pukul telur dan butter
Masukkan telur dan esen vanila
Masukkan tepung yang telah diayak dengan soda sedikit-sedikit dan coklat chip
Sudukan dalam dulang pembakar (saya guna piping bag)
Letakkan jarak-jarak kerana kukis ni mengembang
Bakar selama 15-20 minit dengan suhu 175`

Mudah bukan dan hasilnya.....


Sebenarnya selalu juga saya membuat kukis ni tetapi dengan menggunakan tepung ready made Nona...tapi bila tengok resepi ni mudah dan semua bahan ada di rumah maka bermulalah operasi selepas solat zuhur siang tadi dan sehingga saya N3kan gambar ini kukis ni dah selamat dimakan oleh suami dan anak-anak untuk minum petang tadi. Alhamdulillah....laju dan laku lagi...darihaticikgusuzie...

AYAM GORENG BEREMPAH

Ayam lagi. Kali ni suami yang request untuk makan dengan nasi lemak. Harum sungguh baunya sewaktu digoreng. Saya blendkan bawang merah, bawang putih, halia, jintan manis, perencah sup, serbuk kari, garam dan aji. Kemudian saya taburkan dengan tepung goreng ayam...Memang sedap dan rangup kulitnya dan lembut di dalam.


   Anak-anakpun suka dengan kerangupannya. Resepi yang paling mudah untuk disajikan dengan nasi lemak. Kalau tak percaya cubalah...darihaticikgusuzie..

Saturday, 17 December 2011

AYAM BBQ BEREMPAH

Bekalan ayam memang tidak pernah putus di rumah. Anak-anak lebih memilih untuk makan  ayam daripada makan ikan. Saya hampir kehilangan idea nak masak apa lagi dengan ayam ni. Suami kata kalau nak senang buat je BBQ ayam. Lagi memudahkan kerja saya. Untuk memerap ayam saya menggunakan bawang merah, bawang putih, serai, jintan manis yang telah dikisar halus, serbuk kunyit, serbuk cili, serbuk kari, perencah sup, gula pasir, gula perang, garam dan ajinomoto. Senang dan mudah. Semakin lama perap semakin sedap dan rasa manis dan berempah akan meresap ke dalam ayam-ayam tersebut.
    Sementara suami menghidupkan pembakar, saya mula mencucuk ayam dengan lidi dan menuangkan lebihan kuah perapan ke atas ayam-ayam yang telah siap dicucuk. Memang mudah kerja sayakan..lepas ni suamilah yang akan mengambil alih...Hah siap sudah...darihaticikgusuzie...
   

Tunggu untuk dibakar sahaja lagi...

MUFIN VANILA BLUEBERRY COKLAT CHIP

Saya ni memang degil  agaknya. Tetapi hati ni teruja nak buat mufin lagi walaupun suami kata saya dah kira pandai buat mufin jadi tak perlulah buat mufin lagi. Namun memandangkan cuti sekolah semakin sampai ke penghujungnya saya perlu menghabiskan segala stok yang ada kerana bila sekolah dah dibuka nanti saya akan kekurangan masa nak memufin ke meroti ke. Bahkan kadang-kadang masakpun tak sempat. Mufin ini saya gunakan tepung ready made Pinnacle Muffin Mix Vanilla yang saya beli di sebuah kedai menjual barang-barang membuat kuih di pekan Sungai Pelek.
Bahan-bahannya
Bahan A
500gm Pinnacle Muffin Mix Vanilla
Bahan B
3 biji telur
150 ml minyak jagung
215 ml susu segar

Filling blueberry
Coklat chip

Cara-caranya
Masukkan Bahan B yang telah dicampurkan bersama ke dalam Bahan A.
Gunakan whisk sahaja untuk mengacau adunan
Masukkan ke dalam cup muffin
Isikan separuh dan masukkan filling
Masukkan lagi adunan sehingga 3/4 cup mufin
Tabur dengan coklat chip
Bakar dengan suhu 190C sehingga masak

Ha dah siappun


Sebenarnya saya tak berapa gemar menggunakan cup mufin ini sebab saiznya yang besar dan kadang kala anak-anak tak habispun makan. Oleh sebab cup mufin yang kecil dah habis mahu tak mahu gunalah juga. Mufin ni satu adunan dapatlah 12 ketul. Memang lembut dan sedap...darihaticikgusuzie...

Friday, 16 December 2011

MEROTI LAGI DAN LAGI

Ini kali kedua saya membuat roti. Kesian kat suami sebab sanggup main kutu nak belikan saya bread maker...hehe. Suami saya memang suka makan roti. Tak kisah roti apa. jadi tepat pukul 10.30 malam saya mula meroti...Saya memang suka memasak malam-malam bila semua kerja dah selesai. Sebaik sahaja roti dibakar suami kata baunya sungguh sedap dan menusuk di hidung. Nampaknya sedaplah roti saya tu. Di sini saya menggunakan resepi  Basic Dough oleh Kak Nor Secubit Garam. Mohon untuk share ye resepi ini untuk tatapan rakan-rakan satu sekolah dan anak-anak murid saya.
Bahan-bahan
380 gm tepung high protien
3sdb susu tepung
80gm gula castor
3sdk yis segera
1 biji telur dikocok sikit dengan garfu
100ml air
100gm water roux
1/2 sudu kecil garam
30gm butter
30gm shortening

Cara-caranya
Masukkan air, telur dan water roux dalam bread maker
Masukkan tepung dan susu tepung
Letakkan gula dan yis di satu penjuru dan garam di penjuru yang lain
Tekan suis bm dan setkan mode dough
Tekan start dan biarkan ia menguli
Bila dah jadi bentuk doh masukkan butter dan shortening
Biarkan sehingga proses menguli selesai
Biarkan ia naik 2x ganda 
Kemudian bentuk doh mengikut citarasa

Cara saya senang je. Buat bulat dan masukkan inti. Saya gunakan inti kacang merah dan coklat je. Maklumlah dah tengah-tengah malam ni. Pastu meroti sorang-sorang. Jadi hentam sajalah bentuknya.


Inilah hasilnya. Bila suami bangun pagi je tengok roti dah jadi macam ni bukan main suka lagi dia. Nampaknya tak sia-sia dia belikan saya bread maker ni. Berbaloi-baloi..darihaticikgusuzie...

Wednesday, 14 December 2011

CUCUR UDANG....

Bila cuti sekolah macam ni anak-anaklah yang paling seronok. Puas bermain di luar rumah, masuk dalam untuk makan dan minum. Melasak kat luar. Main basikal, main masak-masak, main pondok-pondok. Dan baru-baru ni entah siapalah yang membuang kucing di rumah kami dengan 2 ekor anaknya sekali. Naik kurus anak-anak kucing tu dikerjakan dek Aiesyah. Dimasukkannya ke dalam bakul basikal dan dibawa keliling rumah. Masuk dalam rumah badanpun dah berbau kucing.
   Bila cuti sekolah macam ni alamatnya dapur asyik berasap ajelah, tangan tak pernah kering, air sejuk dalam peti ais kena selalu diisi. Oleh sebab masak lemak cili api tengah hari tadi dah selesai, makan malam ni kena buat sesuatu yang mengenyangkan suami dan anak-anak. Siang tadi singgah di kedai membeli udang. Apalagi malam ni buat cucur udang sajalah.
    Cucur udang ni saya masukkan bawang besar dipotong dadu, taugeh, daun sup, sebiji telur, garam dan aji. Hampir 20 biji saya buat untuk suami dan anak-anak. Sosnya saya masakkan cili kering yang telah diblend bersama bawang besar, sos cili Thai, gula, garam, aji dan asam keping. Cepat dan mudah.


Dalam sekelip mata dah habis cucur udang ni dimakan oleh suami dan anak-anak. Walaupun rupanya tak berapa nak cantik tapi rasanya bolehlah tahan hehe..darihaticikgusuzie...

PAU SOSEJ GULUNG

Baru saja nak melelapkan mata lepas makan tengah hari tadi Aiesyah dah merengek-rengek suruh buat kuih untuk minum petang. Iman dah dua hari demam. Alia hari ni menampakkan tanda-tanda nak demam juga. Alamatnya dua tiga hari ni tak adalah penolong kat dapur. Mahu tak mahu terpaksalah bangun juga.
   Mulanya nak buat pizza lagi tapi bila fikirkan ada lebihan sosej buat pizza hari tu maka ada juga gunanya sosej tu. Buat sosej goreng yang digulung dengan tepung buat donut. Habis cerita. nampaknya cukup laku. Angkat saja dari kuali habis...angkat saja dari kuali licin. Anak-anak cicah dengan sos cili dan mayonis. Resepi asal boleh dilihat di Koleksi 1001 Resepi. Mohon share ye untuk tatapan rakan-rakan dan anak-anak muridku.


Begitulah rupanya apabila digoreng. Sesekali makan memang sedap tapi bila dah selalu dibuat anak-anak pandang sebelah mata je nanti...namun begitu bertambahlah juga resepi yang saya pelajari pada hari ini...darihaticikgusuzie...

NASI OH NASI

Salam Rabu semua....nampaknya cuti sekolah semakin mahu berakhir. Alamak dah nak sekolah ke? Bila dah cuti lama macam ni rasa malas untuk ke sekolah mulalah terasa lebih-lebih lagi pada minggu pertama sekolah. Namun kewajipan harus ditunaikan.
   Hari ini saya nak bercerita tentang nasi. Suami mula membuka mulut malan tadi...."mama kan dah tahu buat mufin cuba mama masak nasi pula. Nasi beriani...mama boleh buat. Dua minggu lepas kami makan nasi beriani Johor di Salak. Anak-anak memang suka sangat sebab segalanya sedap. Nasinya cukup lembut dan pendek kata semuanya sedaplah. Ayam merahnya tidak berapa pedas, dalca yang sempurna dan acar yang cukup ringkas. Namun dalam hati saya lauk-pauk begitu saya boleh memasaknya cuma dapatkah saya memasak nasi yang sesedap itu sedangkan nasi putih kenduri di rumah adik iparpun terkial-kial hendak memasaknya.
    Sesedar sayalah banyak jenis nasi sudah saya masak...nasi ayam, nasi dagang, nasi tomato, nasi minyak, nasi lemak apatah lagi, nasi goreng selalu juga cuma nasi beriani belum berani nak buat hehehe...Dalam banyak-banyak nasi hanya saya saja yang suka nasi daging. Semasa tinggal di Serdang dahulu, nasi daging di pasar malam Jumaatnya memang sedap. Walaupun suami kata " mama ni nasi itupun mama suka". Saya cukup suka bila daging yang telah direbus tu dicicah dengan air asam...Bila fikirkan semula mahu meleleh air liur ni. Di pasar malam Salak juga saya cukup suka nasi kerabunya. Memang kelas tapi nasi kerabu inipun saya tak pernah membuatnya.

   
Nampaknya bila suami dah sound suruh belajar masak segala jenis nasi ni kena layan jugalah. Tapi bahan-bahan untuk buat kek dan mufin masih banyak dalam simpanan dan perlu dihabiskan sebelum sekolah bermula kerana sebaik sahaja sekolah bermula dapur kecil kat rumah tu jarang berasap...hehehe.... 
      Nasi yang tertera di atas ni bukanlah saya yang masak cuma gambar tu saya ambil dari blog Azlita Masam Manis. Masakan beliau nampak sedap, seorang yang kreatif dari segi dekorasi sajiannya. Banyak resepi menarik daripada blog ini dan kalau berminat layarilah laman blog beliau. Mohon share gambar yang menaikkan selera makan saya tu ye..darihaticikgusuzie...

Tuesday, 13 December 2011

ROJAK BUAH...

Hari kedua kenduri di rumah adik ipar...sebenarnya kenduri tu pada malam Ahad je tapi pagi Ahad kami berkumpul lagi..masak-masak..sembang-sembang. Dan rojak buah menjadi salah satu menunya. Dah sendat dah perut semalam makan makanan berat walaupun saya tak ambil nasi masa tu tapi meratah lauk-pauk pun dah menyebukan perut. Rojak buah semalam hanya berbuahkan jambu batu, timun dan sengkuang je. Bukan tak mahu kupaskan nanas tetapi nanas selalunya tak mendapat sambutan. Di sini saya turunkan resepi kuah rojaknya yang selalu rakan-rakan dan anak-anak murid tanya. Senang je.
1 botol kecil kicap manis cap kipas udang
500 gram gula
10 biji cili api (kalau nak pedas boleh tambah lagi)
1 keping belacan digoreng (saya beli di rumah mak mentua..orang kampung yang buat sendiri)
1/2 botol petis udang (yang ni saya selalu tak guna sebab belacanpun dah cukup)
1 mangkuk kacang tanah yang telah ditumbuh kasar
Sedikit bijan yang telah disangan

Masukkan ikut urutan ye. Mula-mula masukkan cili api dan belacan, lepas tu kicap, lepas tu masukkan gula, kemudian masukkan kicap dan gula diselang-selikan kicap dan gula sehingga habis. Blend sehingga semuanya hancur dan lumat.
Masa hendak makan gaullah dengan kacang tanah yang sudah ditumbuk dan tabur dengan bijan...Sedap gitu.
     Walaupun pedas masih nak ulang-ulang makannya...kesian tengok suami yang kepedasan tapi masih tetap setia mengadap rojak buah tu. Anak-anak apalah lagi...nape mama buat pedas sangat ni....tapi bila suruh berhenti makan takde sorangpun yang nak berhenti makan hehehe..


Ni dia rojak buah tu...kalau ada mangga lagi sedapkan. Kalau nak  makan sendiri tambah-tambahlah buah yang kita suka ye. Yang ni saya gunakan buah epal hijau, timun dan sengkung je. Buah-buah yang lain tak dapat dikesan hehehe..tapi bila makan kalau tak mengesat air mata tak sah hehe....darihaticikgusuzie...

PUDING ROTI KAREMAL

Puding roti karemal ni baru pagi tadi dibuat sebelum keluar mencari lauk. Tinggal je bertenggek kat dapur sehinggalah bila balik dari kedai dah masak dah puding roti karemal ni. Ini pertama kali buat puding roti karemal ni. Selalunya buat puding roti marble je resepi yang diberikan oleh rakan satu sekolah. 
   Puding roti karemal ni buatnya mudah sahaja. Inipun resepi yang diambil dari blog rakan-rakan. Kalaulah rakan-rakan sekolah dan anak-anak muridku  ingin membuat puding roti karemal ni bolehlah mencari resepinya dalam blog list yang saya nyatakan dalam blog saya ini. Puding ini memang sedap, gebu dan senang dipotong.


   Inilah rupanya. Sewaktu puding ini dibuat suami bertugas di sekolah. Tentu dia terkejut bila balik makan tengah hari nanti puding ini disajikan sebagai pencuci mulut pula...hehe... Anak-anakpun masih belum tahu kewujudan puding ini sebab masing-masing sibuk bermain game. Kalau mereka dah tahu alamat tak sampai petanglah gamaknya puding ni hehe..
   Dulu-dulu lagi saya dah katakan bahawa wujudnya blog saya ni bukanlah nak mengajar memasak cuma nak mencuba resepi-resepi yang saya dapati daripada blog masakan yang tumbuh bak cendawan sekarang ini. Besar hati melihat betapa hebat dan kreatifnya rakan-rakan maya yang mempunyai blog masakan yang hebat-hebat seperti Masam manis,Koleksi 1001 Resepi, dan sebagainya...hehe...kalau rakan-rakan sekolah dan anak-anak muridku nak mencari resepi yang hebat-hebat carilah di blog yang telah saya senaraikan itu..hehe..takkan mengecewakan...darihaticikgusuzie...

BUBUR JAGUNG PLUS PLUS

Sebenarnya dah lama dah buat bubur jagung ni tetapi asyik tak jadi je. Mula-mula tak jadi sebab kenduri adik ipar. Pastu tergoleklah labu ngan keledek kat dapur tu tak dibuat bubur sebab merayap ngan suami..hehe..Last-last malam tadi bila suami dok tanya nape labu tu tak dimasak-masak jam-jam tu juga siap bubur jagung plus plus tu.
     Bubur jagung plus-plus ni sebenarnya dicampur dengan keledek dan labu. Masukkan sedikit sagu biji untuk memekatkan kuahnya. Suami kata labu tu dileceklah sikit biar pekat lagi kuahnya. Layan jelah. Bila dah tenggek kat dapur suami pula ambil alih...masukkan gula Melaka, gula pasir, sedikit garam dan akhir sekali masukkan sagu biji.
    Oleh sebab suami yang menjadi jurinya malam tadi maka markah penuh diberi sendiri kepada bubur jagung plus-plus yang kononnya dialah yang masak....layan je...


Inilah dia bubur jagung plus plus tu. Jagung yang digunakan hanyalah jagung dalam tin disebabkan jagung yang asalnya nak dibuat bubur sudah direbus oleh suami...Sedap jugaklah kata suami yang pagi tadi bertugas di sekolah dengan membawa setupperware bubur jagung plus plus ni..darihaticikgusuzie...

Monday, 12 December 2011

MUFIN KOPI COKLAT CHIP

Tepat pukul 8 malam mula memufin. Kali ini saya menggunakan resepi daripada Izah Mufin Lover
Mufin Kopi Coklat Chip.Mohon untuk share resepinya di sini ye untuk dikongsi dengan anak-anak murid yang hendak mencubanya.  Mudah sungguh untuk menyediakannya bila semua bahan ada di rumah.
Bahan-bahannya 
Bahan A
350 gm tepung gandum
3sdk baking powder
1/2 kecil garam (saya tak letakpun)
200 gm gula perang
Bahan B
150ml minyak jagung
250ml susu kopi (saya guna Dutch Lady)
1sdk nescafe
1 biji telur (dipukul sedikit)
1sdk esen vanilla
coklat chip secukupnya

Cara-caranya:
Panaskan oven 180C api atas bawah selama 15 minit
Ayakkan tepung gandum dan baking powder
Gaul rata semua bahan A dalam mangkuk
Masukkan semua bahan B dalam mangkuk Bahan A dan kacau guna senduk kayu.
Masukkan dalam bekas mufin
Hias dengan coklat chip
Bakar selama 20 minit.

Hah dah siappun


Inilah rupanya Mufin Kopi Coklat Chip tu. Alamak...anak-anak tengok sebelah matalah pula. Mungkin sebab warnanya yang tak berapa nak coklat tak berapa nak hitam macam kopi. Namun dah tiga ketul dimakan oleh suami...Takpelah..esok mufin ni akan diposkan ke rumah anak sepupu kalau panjang umurnya sampai pagi esok hehehe...darihaticikgusuzie...

Thursday, 8 December 2011

PIZZA MALAM PEKAT

Hahaha kelakar jugak namanyakan. Mana taknya pizza ni siap boleh dimakan tepat pada pukul 10.00 malam yang pekat tidak berbintang. Asalnya nak buat petang tadi tetapi sebab sibuk dengan kerja-kerja memprint resepi-resepi maka tepat pukul 8.00 baru mula nak buat. Bolehlah dikatakan bahawa pizza ni merangkap makan malamlah ye...Pizza saya selalunya simple je topingnya..sosej, jejari ketam dan cendawan je. Bubuh cheese banyak-banyak....licin dimakan dek suami dan anak-anak. Saya bab pizza ni tak berapa nak suka. Selalunya saya tak makan banyakpun. 1 kepingpun dah cukup. Tapi mestilah yang banyak cendawan dan yang banyak kejunya..hehe


Pizza yang ini permintaan suami...dia nak yang banyak cheese kat crust tepinya...layan je...


Setelah dimasak maka beginilah rupanya...Rupa tiada rasa adalah juga...hehe. Inilah pizza merangkap makan malam kami malam ni..Satu adunan doh pizza dapatlah 4 pan pizza...kenyanglah juga. oppss pizza ni takde assesori lain terutamanya lada benggala sebab anak-anak bukan makanpun. Disusunnya kat tepi piring kita juga yang sakit mata tengok..darihaticikgusuzie...