Saturday, 31 December 2011

NASI TOMATO

Sudah hampir 2 minggu buku masakan 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza saya beli. Namun masih tidak berkesempatan untuk mencuba resepi-resepi yang termuat di dalam buku tersebut. Jadi sebagai penutup tahun 2011 ini pagi-pagi lagi saya keluar untuk mencari bahan-bahan untuk membuat nasi tomato. Antara bahan untuk membuat nasi tomato ialah:
Bahan A
5 cawan beras dicuci dan ditoskan (saya gunakan beras Faiza Basmathi)
1/2 cwn susu cair
4 biji tomato (dicincang)
3 sudu makan minyak sapi
Garam secukup rasa
6 cawan air
Daun pandan disimpul
2 batang serai
1 kotak kecil kismis (saya tak letak - terlupa)

Bahan B
(untuk menumis)
3 ulas bawang putih (dihiris)
5 biji bawang merah (dihiris)
1 inci halis (dihiris)
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang.

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak sapi, tumiskan bahan tumis, serai dan daun pandan sehingga wangi.
2. Masukkan tomato, garam dan gaul rata.
3. Masukkan kismis, susu cair, air dan biarkan mendidih.
4. Masukkan bahan tumis ke dalam beras di dalam periuk nasi. Biarkan masak.
5. Apabila nasi sudah kering, kacau rata tetapi jangan sampai hancur.



Nasi tomato yang menggunakan beras basmathi ini memang sedap dan lembut. Anak-anak bertambah2 nasi bila memakannya. Nasi tomato ini sedap dimakan dengan ayam masak merah, dalca dan jelantah. Resepi dalca dan jelantah adalah resepi saya sendiri manakala resepi ayam masak merah saya ambil daripada buku masakan tulisan Chef Hanieliza.
Bahan-bahannya:
Bahan A
1 ekor ayam
1 labu bawang besar (dipotong gelang)
2 sudu makan sos tomato
Minyak masak
Garam dan gula secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan B (dikisar)
15 tangkai cili kering
2 inci halia
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 batang serai
4 biji tomato

Cara-cara membuatnya:
1.  Ayam dipotong kecil, dibersihkab, digaulkan dengan garam dan kunyit goreng sehingga masak.
2.  Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar sehingga garing.
3.  Masukkan ayam, sos tomato, bawang besar, garam dan gula.
4...Gaulkan sehingga sebati dan rata.






Sebenarnya dulu-dulupun saya pernah membuat nasi tomato tetapi dengan menggunakan resepi saya sendiri. Namun setelah mencuba resepi dari buku masakan 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza ini, resepi beliau ternyata lebih sedap...yummy..yummy...silalah cuba...darihaticikgusuzie...

Sunday, 18 December 2011

COKLAT CHIP KUKIS

Assalamualaikum semua,
Kali kedua saya bersiaran hari ini. Kali ini saya nak mencuba kukis dari resepi Sumber Ilhamku yang saya dapati selepas menyelongkar dapur rumahnya siang tadi...hehe...Rupa-rupanya resepinya sungguh mudah untuk disediakan dan kali ini saya mendapat khidmat Iman dan Aiesyah untuk membantu saya untuk membuatnya.
Bahan-bahannya
2 cwn tepung gandum
1 cwn butter
1 1/4 gula perang
2 biji telur
3/4 soda bikarbonat
3sdt vanila
2 cwn coklat chip
3 sudu serbuk koko (saya tambah)


Cara-caranya
Pukul telur dan butter
Masukkan telur dan esen vanila
Masukkan tepung yang telah diayak dengan soda sedikit-sedikit dan coklat chip
Sudukan dalam dulang pembakar (saya guna piping bag)
Letakkan jarak-jarak kerana kukis ni mengembang
Bakar selama 15-20 minit dengan suhu 175`

Mudah bukan dan hasilnya.....


Sebenarnya selalu juga saya membuat kukis ni tetapi dengan menggunakan tepung ready made Nona...tapi bila tengok resepi ni mudah dan semua bahan ada di rumah maka bermulalah operasi selepas solat zuhur siang tadi dan sehingga saya N3kan gambar ini kukis ni dah selamat dimakan oleh suami dan anak-anak untuk minum petang tadi. Alhamdulillah....laju dan laku lagi...darihaticikgusuzie...

AYAM GORENG BEREMPAH

Ayam lagi. Kali ni suami yang request untuk makan dengan nasi lemak. Harum sungguh baunya sewaktu digoreng. Saya blendkan bawang merah, bawang putih, halia, jintan manis, perencah sup, serbuk kari, garam dan aji. Kemudian saya taburkan dengan tepung goreng ayam...Memang sedap dan rangup kulitnya dan lembut di dalam.


   Anak-anakpun suka dengan kerangupannya. Resepi yang paling mudah untuk disajikan dengan nasi lemak. Kalau tak percaya cubalah...darihaticikgusuzie..

Saturday, 17 December 2011

AYAM BBQ BEREMPAH

Bekalan ayam memang tidak pernah putus di rumah. Anak-anak lebih memilih untuk makan  ayam daripada makan ikan. Saya hampir kehilangan idea nak masak apa lagi dengan ayam ni. Suami kata kalau nak senang buat je BBQ ayam. Lagi memudahkan kerja saya. Untuk memerap ayam saya menggunakan bawang merah, bawang putih, serai, jintan manis yang telah dikisar halus, serbuk kunyit, serbuk cili, serbuk kari, perencah sup, gula pasir, gula perang, garam dan ajinomoto. Senang dan mudah. Semakin lama perap semakin sedap dan rasa manis dan berempah akan meresap ke dalam ayam-ayam tersebut.
    Sementara suami menghidupkan pembakar, saya mula mencucuk ayam dengan lidi dan menuangkan lebihan kuah perapan ke atas ayam-ayam yang telah siap dicucuk. Memang mudah kerja sayakan..lepas ni suamilah yang akan mengambil alih...Hah siap sudah...darihaticikgusuzie...
   

Tunggu untuk dibakar sahaja lagi...

MUFIN VANILA BLUEBERRY COKLAT CHIP

Saya ni memang degil  agaknya. Tetapi hati ni teruja nak buat mufin lagi walaupun suami kata saya dah kira pandai buat mufin jadi tak perlulah buat mufin lagi. Namun memandangkan cuti sekolah semakin sampai ke penghujungnya saya perlu menghabiskan segala stok yang ada kerana bila sekolah dah dibuka nanti saya akan kekurangan masa nak memufin ke meroti ke. Bahkan kadang-kadang masakpun tak sempat. Mufin ini saya gunakan tepung ready made Pinnacle Muffin Mix Vanilla yang saya beli di sebuah kedai menjual barang-barang membuat kuih di pekan Sungai Pelek.
Bahan-bahannya
Bahan A
500gm Pinnacle Muffin Mix Vanilla
Bahan B
3 biji telur
150 ml minyak jagung
215 ml susu segar

Filling blueberry
Coklat chip

Cara-caranya
Masukkan Bahan B yang telah dicampurkan bersama ke dalam Bahan A.
Gunakan whisk sahaja untuk mengacau adunan
Masukkan ke dalam cup muffin
Isikan separuh dan masukkan filling
Masukkan lagi adunan sehingga 3/4 cup mufin
Tabur dengan coklat chip
Bakar dengan suhu 190C sehingga masak

Ha dah siappun


Sebenarnya saya tak berapa gemar menggunakan cup mufin ini sebab saiznya yang besar dan kadang kala anak-anak tak habispun makan. Oleh sebab cup mufin yang kecil dah habis mahu tak mahu gunalah juga. Mufin ni satu adunan dapatlah 12 ketul. Memang lembut dan sedap...darihaticikgusuzie...

Friday, 16 December 2011

MEROTI LAGI DAN LAGI

Ini kali kedua saya membuat roti. Kesian kat suami sebab sanggup main kutu nak belikan saya bread maker...hehe. Suami saya memang suka makan roti. Tak kisah roti apa. jadi tepat pukul 10.30 malam saya mula meroti...Saya memang suka memasak malam-malam bila semua kerja dah selesai. Sebaik sahaja roti dibakar suami kata baunya sungguh sedap dan menusuk di hidung. Nampaknya sedaplah roti saya tu. Di sini saya menggunakan resepi  Basic Dough oleh Kak Nor Secubit Garam. Mohon untuk share ye resepi ini untuk tatapan rakan-rakan satu sekolah dan anak-anak murid saya.
Bahan-bahan
380 gm tepung high protien
3sdb susu tepung
80gm gula castor
3sdk yis segera
1 biji telur dikocok sikit dengan garfu
100ml air
100gm water roux
1/2 sudu kecil garam
30gm butter
30gm shortening

Cara-caranya
Masukkan air, telur dan water roux dalam bread maker
Masukkan tepung dan susu tepung
Letakkan gula dan yis di satu penjuru dan garam di penjuru yang lain
Tekan suis bm dan setkan mode dough
Tekan start dan biarkan ia menguli
Bila dah jadi bentuk doh masukkan butter dan shortening
Biarkan sehingga proses menguli selesai
Biarkan ia naik 2x ganda 
Kemudian bentuk doh mengikut citarasa

Cara saya senang je. Buat bulat dan masukkan inti. Saya gunakan inti kacang merah dan coklat je. Maklumlah dah tengah-tengah malam ni. Pastu meroti sorang-sorang. Jadi hentam sajalah bentuknya.


Inilah hasilnya. Bila suami bangun pagi je tengok roti dah jadi macam ni bukan main suka lagi dia. Nampaknya tak sia-sia dia belikan saya bread maker ni. Berbaloi-baloi..darihaticikgusuzie...

Wednesday, 14 December 2011

CUCUR UDANG....

Bila cuti sekolah macam ni anak-anaklah yang paling seronok. Puas bermain di luar rumah, masuk dalam untuk makan dan minum. Melasak kat luar. Main basikal, main masak-masak, main pondok-pondok. Dan baru-baru ni entah siapalah yang membuang kucing di rumah kami dengan 2 ekor anaknya sekali. Naik kurus anak-anak kucing tu dikerjakan dek Aiesyah. Dimasukkannya ke dalam bakul basikal dan dibawa keliling rumah. Masuk dalam rumah badanpun dah berbau kucing.
   Bila cuti sekolah macam ni alamatnya dapur asyik berasap ajelah, tangan tak pernah kering, air sejuk dalam peti ais kena selalu diisi. Oleh sebab masak lemak cili api tengah hari tadi dah selesai, makan malam ni kena buat sesuatu yang mengenyangkan suami dan anak-anak. Siang tadi singgah di kedai membeli udang. Apalagi malam ni buat cucur udang sajalah.
    Cucur udang ni saya masukkan bawang besar dipotong dadu, taugeh, daun sup, sebiji telur, garam dan aji. Hampir 20 biji saya buat untuk suami dan anak-anak. Sosnya saya masakkan cili kering yang telah diblend bersama bawang besar, sos cili Thai, gula, garam, aji dan asam keping. Cepat dan mudah.


Dalam sekelip mata dah habis cucur udang ni dimakan oleh suami dan anak-anak. Walaupun rupanya tak berapa nak cantik tapi rasanya bolehlah tahan hehe..darihaticikgusuzie...

PAU SOSEJ GULUNG

Baru saja nak melelapkan mata lepas makan tengah hari tadi Aiesyah dah merengek-rengek suruh buat kuih untuk minum petang. Iman dah dua hari demam. Alia hari ni menampakkan tanda-tanda nak demam juga. Alamatnya dua tiga hari ni tak adalah penolong kat dapur. Mahu tak mahu terpaksalah bangun juga.
   Mulanya nak buat pizza lagi tapi bila fikirkan ada lebihan sosej buat pizza hari tu maka ada juga gunanya sosej tu. Buat sosej goreng yang digulung dengan tepung buat donut. Habis cerita. nampaknya cukup laku. Angkat saja dari kuali habis...angkat saja dari kuali licin. Anak-anak cicah dengan sos cili dan mayonis. Resepi asal boleh dilihat di Koleksi 1001 Resepi. Mohon share ye untuk tatapan rakan-rakan dan anak-anak muridku.


Begitulah rupanya apabila digoreng. Sesekali makan memang sedap tapi bila dah selalu dibuat anak-anak pandang sebelah mata je nanti...namun begitu bertambahlah juga resepi yang saya pelajari pada hari ini...darihaticikgusuzie...

NASI OH NASI

Salam Rabu semua....nampaknya cuti sekolah semakin mahu berakhir. Alamak dah nak sekolah ke? Bila dah cuti lama macam ni rasa malas untuk ke sekolah mulalah terasa lebih-lebih lagi pada minggu pertama sekolah. Namun kewajipan harus ditunaikan.
   Hari ini saya nak bercerita tentang nasi. Suami mula membuka mulut malan tadi...."mama kan dah tahu buat mufin cuba mama masak nasi pula. Nasi beriani...mama boleh buat. Dua minggu lepas kami makan nasi beriani Johor di Salak. Anak-anak memang suka sangat sebab segalanya sedap. Nasinya cukup lembut dan pendek kata semuanya sedaplah. Ayam merahnya tidak berapa pedas, dalca yang sempurna dan acar yang cukup ringkas. Namun dalam hati saya lauk-pauk begitu saya boleh memasaknya cuma dapatkah saya memasak nasi yang sesedap itu sedangkan nasi putih kenduri di rumah adik iparpun terkial-kial hendak memasaknya.
    Sesedar sayalah banyak jenis nasi sudah saya masak...nasi ayam, nasi dagang, nasi tomato, nasi minyak, nasi lemak apatah lagi, nasi goreng selalu juga cuma nasi beriani belum berani nak buat hehehe...Dalam banyak-banyak nasi hanya saya saja yang suka nasi daging. Semasa tinggal di Serdang dahulu, nasi daging di pasar malam Jumaatnya memang sedap. Walaupun suami kata " mama ni nasi itupun mama suka". Saya cukup suka bila daging yang telah direbus tu dicicah dengan air asam...Bila fikirkan semula mahu meleleh air liur ni. Di pasar malam Salak juga saya cukup suka nasi kerabunya. Memang kelas tapi nasi kerabu inipun saya tak pernah membuatnya.

   
Nampaknya bila suami dah sound suruh belajar masak segala jenis nasi ni kena layan jugalah. Tapi bahan-bahan untuk buat kek dan mufin masih banyak dalam simpanan dan perlu dihabiskan sebelum sekolah bermula kerana sebaik sahaja sekolah bermula dapur kecil kat rumah tu jarang berasap...hehehe.... 
      Nasi yang tertera di atas ni bukanlah saya yang masak cuma gambar tu saya ambil dari blog Azlita Masam Manis. Masakan beliau nampak sedap, seorang yang kreatif dari segi dekorasi sajiannya. Banyak resepi menarik daripada blog ini dan kalau berminat layarilah laman blog beliau. Mohon share gambar yang menaikkan selera makan saya tu ye..darihaticikgusuzie...

Tuesday, 13 December 2011

ROJAK BUAH...

Hari kedua kenduri di rumah adik ipar...sebenarnya kenduri tu pada malam Ahad je tapi pagi Ahad kami berkumpul lagi..masak-masak..sembang-sembang. Dan rojak buah menjadi salah satu menunya. Dah sendat dah perut semalam makan makanan berat walaupun saya tak ambil nasi masa tu tapi meratah lauk-pauk pun dah menyebukan perut. Rojak buah semalam hanya berbuahkan jambu batu, timun dan sengkuang je. Bukan tak mahu kupaskan nanas tetapi nanas selalunya tak mendapat sambutan. Di sini saya turunkan resepi kuah rojaknya yang selalu rakan-rakan dan anak-anak murid tanya. Senang je.
1 botol kecil kicap manis cap kipas udang
500 gram gula
10 biji cili api (kalau nak pedas boleh tambah lagi)
1 keping belacan digoreng (saya beli di rumah mak mentua..orang kampung yang buat sendiri)
1/2 botol petis udang (yang ni saya selalu tak guna sebab belacanpun dah cukup)
1 mangkuk kacang tanah yang telah ditumbuh kasar
Sedikit bijan yang telah disangan

Masukkan ikut urutan ye. Mula-mula masukkan cili api dan belacan, lepas tu kicap, lepas tu masukkan gula, kemudian masukkan kicap dan gula diselang-selikan kicap dan gula sehingga habis. Blend sehingga semuanya hancur dan lumat.
Masa hendak makan gaullah dengan kacang tanah yang sudah ditumbuk dan tabur dengan bijan...Sedap gitu.
     Walaupun pedas masih nak ulang-ulang makannya...kesian tengok suami yang kepedasan tapi masih tetap setia mengadap rojak buah tu. Anak-anak apalah lagi...nape mama buat pedas sangat ni....tapi bila suruh berhenti makan takde sorangpun yang nak berhenti makan hehehe..


Ni dia rojak buah tu...kalau ada mangga lagi sedapkan. Kalau nak  makan sendiri tambah-tambahlah buah yang kita suka ye. Yang ni saya gunakan buah epal hijau, timun dan sengkung je. Buah-buah yang lain tak dapat dikesan hehehe..tapi bila makan kalau tak mengesat air mata tak sah hehe....darihaticikgusuzie...

PUDING ROTI KAREMAL

Puding roti karemal ni baru pagi tadi dibuat sebelum keluar mencari lauk. Tinggal je bertenggek kat dapur sehinggalah bila balik dari kedai dah masak dah puding roti karemal ni. Ini pertama kali buat puding roti karemal ni. Selalunya buat puding roti marble je resepi yang diberikan oleh rakan satu sekolah. 
   Puding roti karemal ni buatnya mudah sahaja. Inipun resepi yang diambil dari blog rakan-rakan. Kalaulah rakan-rakan sekolah dan anak-anak muridku  ingin membuat puding roti karemal ni bolehlah mencari resepinya dalam blog list yang saya nyatakan dalam blog saya ini. Puding ini memang sedap, gebu dan senang dipotong.


   Inilah rupanya. Sewaktu puding ini dibuat suami bertugas di sekolah. Tentu dia terkejut bila balik makan tengah hari nanti puding ini disajikan sebagai pencuci mulut pula...hehe... Anak-anakpun masih belum tahu kewujudan puding ini sebab masing-masing sibuk bermain game. Kalau mereka dah tahu alamat tak sampai petanglah gamaknya puding ni hehe..
   Dulu-dulu lagi saya dah katakan bahawa wujudnya blog saya ni bukanlah nak mengajar memasak cuma nak mencuba resepi-resepi yang saya dapati daripada blog masakan yang tumbuh bak cendawan sekarang ini. Besar hati melihat betapa hebat dan kreatifnya rakan-rakan maya yang mempunyai blog masakan yang hebat-hebat seperti Masam manis,Koleksi 1001 Resepi, dan sebagainya...hehe...kalau rakan-rakan sekolah dan anak-anak muridku nak mencari resepi yang hebat-hebat carilah di blog yang telah saya senaraikan itu..hehe..takkan mengecewakan...darihaticikgusuzie...

BUBUR JAGUNG PLUS PLUS

Sebenarnya dah lama dah buat bubur jagung ni tetapi asyik tak jadi je. Mula-mula tak jadi sebab kenduri adik ipar. Pastu tergoleklah labu ngan keledek kat dapur tu tak dibuat bubur sebab merayap ngan suami..hehe..Last-last malam tadi bila suami dok tanya nape labu tu tak dimasak-masak jam-jam tu juga siap bubur jagung plus plus tu.
     Bubur jagung plus-plus ni sebenarnya dicampur dengan keledek dan labu. Masukkan sedikit sagu biji untuk memekatkan kuahnya. Suami kata labu tu dileceklah sikit biar pekat lagi kuahnya. Layan jelah. Bila dah tenggek kat dapur suami pula ambil alih...masukkan gula Melaka, gula pasir, sedikit garam dan akhir sekali masukkan sagu biji.
    Oleh sebab suami yang menjadi jurinya malam tadi maka markah penuh diberi sendiri kepada bubur jagung plus-plus yang kononnya dialah yang masak....layan je...


Inilah dia bubur jagung plus plus tu. Jagung yang digunakan hanyalah jagung dalam tin disebabkan jagung yang asalnya nak dibuat bubur sudah direbus oleh suami...Sedap jugaklah kata suami yang pagi tadi bertugas di sekolah dengan membawa setupperware bubur jagung plus plus ni..darihaticikgusuzie...

Monday, 12 December 2011

MUFIN KOPI COKLAT CHIP

Tepat pukul 8 malam mula memufin. Kali ini saya menggunakan resepi daripada Izah Mufin Lover
Mufin Kopi Coklat Chip.Mohon untuk share resepinya di sini ye untuk dikongsi dengan anak-anak murid yang hendak mencubanya.  Mudah sungguh untuk menyediakannya bila semua bahan ada di rumah.
Bahan-bahannya 
Bahan A
350 gm tepung gandum
3sdk baking powder
1/2 kecil garam (saya tak letakpun)
200 gm gula perang
Bahan B
150ml minyak jagung
250ml susu kopi (saya guna Dutch Lady)
1sdk nescafe
1 biji telur (dipukul sedikit)
1sdk esen vanilla
coklat chip secukupnya

Cara-caranya:
Panaskan oven 180C api atas bawah selama 15 minit
Ayakkan tepung gandum dan baking powder
Gaul rata semua bahan A dalam mangkuk
Masukkan semua bahan B dalam mangkuk Bahan A dan kacau guna senduk kayu.
Masukkan dalam bekas mufin
Hias dengan coklat chip
Bakar selama 20 minit.

Hah dah siappun


Inilah rupanya Mufin Kopi Coklat Chip tu. Alamak...anak-anak tengok sebelah matalah pula. Mungkin sebab warnanya yang tak berapa nak coklat tak berapa nak hitam macam kopi. Namun dah tiga ketul dimakan oleh suami...Takpelah..esok mufin ni akan diposkan ke rumah anak sepupu kalau panjang umurnya sampai pagi esok hehehe...darihaticikgusuzie...

Thursday, 8 December 2011

PIZZA MALAM PEKAT

Hahaha kelakar jugak namanyakan. Mana taknya pizza ni siap boleh dimakan tepat pada pukul 10.00 malam yang pekat tidak berbintang. Asalnya nak buat petang tadi tetapi sebab sibuk dengan kerja-kerja memprint resepi-resepi maka tepat pukul 8.00 baru mula nak buat. Bolehlah dikatakan bahawa pizza ni merangkap makan malamlah ye...Pizza saya selalunya simple je topingnya..sosej, jejari ketam dan cendawan je. Bubuh cheese banyak-banyak....licin dimakan dek suami dan anak-anak. Saya bab pizza ni tak berapa nak suka. Selalunya saya tak makan banyakpun. 1 kepingpun dah cukup. Tapi mestilah yang banyak cendawan dan yang banyak kejunya..hehe


Pizza yang ini permintaan suami...dia nak yang banyak cheese kat crust tepinya...layan je...


Setelah dimasak maka beginilah rupanya...Rupa tiada rasa adalah juga...hehe. Inilah pizza merangkap makan malam kami malam ni..Satu adunan doh pizza dapatlah 4 pan pizza...kenyanglah juga. oppss pizza ni takde assesori lain terutamanya lada benggala sebab anak-anak bukan makanpun. Disusunnya kat tepi piring kita juga yang sakit mata tengok..darihaticikgusuzie...

MUFIN LAGI

Mufin lagi. Mufin coklat lagi kata anak-anak. Tapi saya tak kisahpun sebab saya tahu sat lagi habislah mufin coklat tu. Kali ni saya gunakan resepi Mufin Coklat dari Izah Mufin Lover. Mohon share ye kepada orang yang kemaruk buat muffin ni. Saya tengok resepi Izah Mufin Lover ni menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di  samping caranyapun mudah untuk diikut. Oleh sebab teruja sangat nak cuba buat mufin ni masak untuk makan tengah haripun tertangguh...hehe..


Ni dia hasilnya...suami kata kalau letak white coklat chip ...hehe betul ke...lagi sedap dan nampak terserlah...entahlah bab deko mendeko ni saya tak berapa nak pandai...yang penting mufin yang saya masak habis licin tinggal cup je...puas hati...darihaticikgusuzie...

POPIA SOSEJ POPIA JEJARI KETAM

     Popia sosej ini idea daripada adik di Serdang. Adik saya ini mempunyai 4 orang anak yang kecil-kecil. Dan biasalah untuk menarik anak-anak makan kami kena masak makanan yang anak-anak suka makan....hehe dan kadang kala mengabaikan selera kitalah pulak. Popia jejari ketam ini idea saya bila melihat gelagat Aiesyah yang suka makan jejari ketam bila saya buat steamboat hari tu.
    Apalagi bangun je dari tidur hari ni saya terus ke dapur menyediakan popia-popia ni untuk sarapan pagi kami. Mesti anak-anak akan suka bila mereka bangun dah terhidang popia-popia yang dah lama saya tak buat ni. Memandangkan cuaca agak redup dan mendung tentu hari ini selera anak-anak akan menjadi-jadi. Selalunya begitulah...


   Popia ni cicah dengan sos cili yang saya buat sendiri dengan megisar cili merah campur bawang putih campur sos cili Thai, garam dan gula. Dah siap. Tapi Aiesyah suka cicah dengan mayonis juga. Bila anak-anak bangun dalam sekelip mata dah licin........selesai sudah...darihaticikgusuzie...

BEGEDIL AYAM HENTAM SAJALAH

Begedil ayam ni sebenarnya dah beberapa kali saya buat. Mula-mula buat begedil ayam ni lakulah dimakan dek anak-anak. Masing-masing terkejut...mama pandai ke buat begedil ayam ni?...mama ikut resepi kat internet ke? Taklah mama ikut resepi HENTAM SAJALAH.COM hehehe...
   Sebenarnya bila saya tengok saya boleh buat, bila saya rasa saya boleh tahu bahan-bahan yang digunakan. Selalunya bila makan begedil ayam kat kedai-kedai makan, rasa kentang lebih daripada rasa segalanya...tapi saya tahu apa yang dimasukkan dalam begedil tu. Jadi saya tambahkan itu dan ini maka jadilah begedil ayam versi HENTAM SAJALAH.
   Kali ketiga saya membuatnya semasa kenduri arwah abang ipar di Kuala Selangor. Oleh sebab rasanya tak pedas budak-budakpun suka. Kembang rasa hati bila nampak budak-budak memegang dua tiga begedil ayam dalam genggaman mereka. Nampaknya mereka suka. Dan beberapa hari kemudian kakak di Kuala Selangor telefon meminta resepi begedil ayam saya tu...hehehe...hai kakakku, kalaulah kau tahu yang aku guna resepi HENTAM SAJALAH tentu kau pun tersenyum simpul..


Ha..inilah rupanya begedil ayam tu..Sedap dimakan dengan nasi mahupun dimakan saja-saja gitu je. Saya suka jika dilebihkan bawang goreng di dalamnya...harum bau bawang goreng bila begedil ini digoreng. Resepinya banyak di internet tapi saja punya ni HENTAM SAJALAH... ye...darihaticikgusuzie...

TAHU SUMBAT MAYONIS

     Memang lama benar tak buat tahu sumbat. Selalunya kalau beli tahu selalunya nak buat pecal atau sambal goreng Jawa. Tapi kali ni teringin gak nak makan tahu sumbat. Tak kisahlah nak bersumbat dengan apa asalkan tahu sumbat. Suami tak suka disumbat dengan taugeh sebab bila nak ulang-ulang makan taugeh tu dah lembik. Jadi suami kata sumbatkan je dengan timun dan lobak...Lagi senang cerita. Jam-jam tu juga boleh buat. Maka inilah hasilnya. Suami suka makan dengan mayonis...yummy...yummy...


     Hanya Aiesyah saja yang suka tahu sumbat ni. Alia dan Iman langsung tak makan sebab ada timun dan lobak di dalamnya. Apalah yang nak disumbatkan dalam tahu sumbat ni supaya budak-budak suka makan. Tentang makan Aiesyah tak banyak cerita asalkan tak pedas sangat. Lagipun dia memang suka makan sayur. Mulanya tahu sumbat ni kami cicah dengan sos cili je tapi tiba-tiba suami kata kalau makan dengan mayonispun sedap. Apalagi bertambah-tambahlah dibongsuku tu makan...darihaticikgusuzie...

Sunday, 4 December 2011

KEK KASTARD

Kek kastard ni baru 10 minit siap. Resepi diubahsuai daripada Sumber Ilhamku. Mohon share ye. Sebenarnya dah malam sangat baru buat kek kastard ni. Inipun sebab nak memujuk Aiesyah yang baru lepas kena sergah dek papanya. Kesian sibongsuku itu. Dan ketika saya bersiaran ini kek kastard ini hanya tinggal 1 sahaja untuk tukang buatnya hehehe.


   Kek ini rasanya agak manis dan tak bape  nak jadi kot sebab kastardnya tiba-tiba muncul keluar...hehe tapi oleh sebab tak pernah buat kek kastard ni anak-anak ingatkan ini style baru hehe...hentam sajalah labu...dah licinpun dimakan dek anak-anak. "Nape mama buat kek ni sikit sangat"...hahaha nampak gaya kena buat lagi esok lusa kek kastard ni. Budak-budak macam itulah. Setiap kali cuti ada saja demand nak makan ni dan makan tu. Kalau mamanya pandai buat kuih satu hal juga. Ini baru merangkak-rangkak...namun Alhamdulillah setiap kali cuti sekolah semakin banyak koleksi resepi yang dapat dipraktikkan...darihaticikgusuzie...

ROTI JALA alias LEMPENG

Hahaha...mulalah nak tergelak sorang-sorang. Dah lama benar hasrat nak buat roti jala terbuku kat hati. Acuan dah beli dan segala-galanya sudah siap sedia. Cuma masa dan kemalasannya yang selalu menjadi alasan. Kali ni disebabkan Aiesyah dah merengek-rengek macam mamanya ni pandai sangat buat roti jala maka operasi menjalapun dilakukan....Jalaan pertama hampeh....tak jadi begitu juga jalaan kedua dan ketiga. Mulalah menyalahkan acuanlah, adunanlah padalhal memang saya tak pandai buat roti jala. Namun jalaan seterusnya menjadi tetapi apabila timbul perasaan fedup kat dalam hati. Baik saya buat mufin atau kek saja dah tentu jadinya. 
    Anak-anak mulalah mengomen, roti jalan kat sekolah dia lagi sedaplah, mama tak pandai buatlah, mama tebar jala laju-lajulah, Sampaikan bila telinga dah tak tahan bagi sebijik baru diam. Lama-kelamaan semakin menjala semakin susah, maka roti jala bertukar jadi lempeng tetapi lempeng berwarna ungu dan berwarna hijau...baru puas hati. Oleh sebab kuah kari dah siap maka makanlah lempeng berwarna dengan kuah kari. Adalah lebih kurang 4 keping yang benar-benar jadi....malu nak tunjukkan kat sini. Untuk mengambil hati suamipun makan jugalah....
     Kan mama dah kata bab menjala-jala ni mama lum expert lagi..tapi korang degilkan. Last-last anak-anak makan lempeng dan roti cicah kuah kari...hehe...nampaknya malam ni kena buat satu lagi sajian sebagai cover roti jala yang tak pandai ditebar tu...darihaticikgusuzie...

AYAM LAGI

Mengapa bila masak ikan anak-anak tarik muka taknak makan atau cuma makan sedikit atau makan nasi je...sabotaj tak nak makan ikan. Mengapa kalau masak ayam, laku satu periuk. Tapi kadang kala saya sendiri jemu makan ayam hinggakan tak tahu nak masak ayam masak apa. Nasi ayam sudah, kari ayam sudah, lemak cili api ayampun sudah, ayam goreng tepung, popcorn ayam, ayam masak merah sudah, begedil ayampun sudah..Tetapi setelah intai-intai buku masak yang hampir tercabut kulitnya ni saya mengambil keputusan nak bakar ayam je hari tu. Ayam bakar berempah....suami yang berada di kebunnya hari tu sibuk bertanya-tanya...bau apa ni...bau apa ni...


Ayam yang telah dipotong-potong diperap dengan serbuk cili, (bawang besar, bawang putih,halia,lengkuas, serai yang telah diblend), jintan manis dan jintan putih yang telah diblend kering. Lebih lama perap lagi sedap. Nampaknya ayam bakar berempah ini berjaya menarik selera suami dan anak-anak saya untuk makan bertambah-tambah hari tu. Saya bakarnya dalam oven je...mudah kerja...darihaticikgusuzie...

MUFIN PISANG BLUEBERRY

Sudah 3 hari tak bersiaran. Broadband buat hal. Hari ini ambil keputusan call Celcom Centre...Nasib baik staf yang bekerja cakap selembut bayu, kalau tidak mahu kena seranah hari ni. Akhirnya.....kembali bersiaran.
   Dua tiga hari ni hujan turun tidak berhenti-henti. Anak-anak mulalah lapar dan sibuk cari makanan. Adalah sesisir pisang lemak manis di dapur. Apalagi  mulalah ke dapur untuk membuat kecah...maka inilah hasilnya.


     Mufin pisang blueberry. Sedap dimakan panas-panas...menggunakan 2 cawan tepang gandum, 3/4 cawan gula kastor, 1 cawan butter, 8 biji pisang lemak manis, 1 biji telur, 1sdt baking powder, 1 sdt soda bikarbonat dan  1/2 sdt garam. Tak sampai setengah jam dah siap. Jangan lupa filling blueberrynya ye. Selalunya saya membuat mufin coklat tetapi lama-kelamaan anak-anak dan suami dah jemu...so cubalah resepi yang mudah ini...darihaticikgusuzie...

Friday, 2 December 2011

NASI LEMAK

Dulu saya memang peminat nasi lemak sampaikan malam-malam selalu merengek kat suami suruh carikan nasi lemak daun pisang. Mengapa nasi lemak yang selalu saya buat tak sama dengan yang dijual. Tetapi suami dan anak-anak kata nasi lemak saya lagi sedap. Semalam saya membuat nasi lemak rendang kupang. Tak sempat ambik gambar untuk ditunjukkan. Bila dah buat rendang kupang maknanya tiada sebarang samballah...Tapi nampak macam pelik bila anak-anak tanya mana sambalnya mama...


Ini bukan nasi lemak buatan sendiri. Nasi lemak sotong ni kami makan sewaktu bersarapan pagi di Batu Laut dekat dengan rumah mak mertua saya. Nasi lemaknya memang sedap dan banyak pilihan lauknya seperti sambal sotong, sambal udang, rendang kerang, rendang ayam...namun pilihan saya sekeluarga nasi lemak sambal sotong. Selalunya nasi lemak ini saya makan bersama air kopi kampung...yummy...yummy...Nasinya memang lembut walaupun sudah sejuk...sambalnya agak manis. Maklumlah orang Jawa yang memasaknya..hehe..darihaticikgusuzie...

PUDING TRIFLE

Puding trifle ini digemari oleh suami, anak-anak dan rakan-rakan. Dahulu setiap kali membuatnya saya memang menyediakan kek coklat sendiri kerana menurut suami kek coklat di pasaran tak begitu sedap. Namun demikian sejak belakangan ini saya diselubungi vitaman M sehingga menyebabkan saya menggunakan khidmat kek coklat yang ready made...Senangkan dan cepat pula siapnya.
Dahulu saya membuat puding trifle ini di dalam tupperware yang besar untuk kesenangan saya tetapi menimbulkan kesulitan kepada anak-anak untuk memotongnya. Lama kelamaan saya mendapat idea untuk membuat puding trifle di dalam gelas supaya anak-anak senang nak ambil dan makan.



Tetapi bila dah buat di dalam gelas macam berat pula untuk dipegang oleh anak-anak..hehe...lain kali kena buat dalam bekas plastik yang kecil-kecil.
   Saya masih ingat lagi pada hari kantin tahun 2010 di sekolah saya, saya bersama murid-murid 5 Zuhal menyediakan puding trifle untuk dijual. Hasilnya memang lumayan dan gerai kami ditutup awal kerana berjaya menjual puding triffle, kek coklat dan mufin dengan cepat..hehe. Di sini saya bagilah resepinya yang mudah untuk panduan anak-anak murid saya terutama Rajes Eeswaran yang memintanya hari tu.
Lapisan bawahnya - kek coklat (beli saja yang ada di pasaran)
Lapisan kedua kastard - 3 cawan susu segar, 3 sudu besar gula, 2 sudu besar tepung kastard (masak atas api perlahan)
Lapisan ketiga - buah-buahan dalam tin atau apa jenis buahpun boleh
Lapisan atas - masaklah jely kotak Nona (ikut arahan pada kotak gerenti jadi punya)
Cubalah ye...darihaticikgusuzie...
    

TARTLET BUAH-BUAHAN

Tartlet buah-buahan ni memang menjadi kegemaran anak-anak terutama bahagian kastardnya. Tetapi yang selalu membuat saya naik angin apabila anak-anak membuang buah-buahan yang saya letak di atas tartlet buah-buahan ni. Jadi sebagai peraturan dan undang-undangnya siapa yang nak makan tartlet buah-buahan kena makan semua sekali kecuali paper cupnye..hehe. Kalau tak buat peraturan macam ni alamat dibuangnya buah-buah tu.


Pada mulanya saya menghadapi masalah untuk membuat kastardnye sebab tak tau sukatan yang sesuai. Nasib baik ada seorang anak murid saya yang mempunyai resepi yang mudah. Tetapi resepi kastard ni adalah untuk puding triffle tetapi saya gunakan untuk tartlet buah-buahan ni. Mudah bukan...Masa mula-mula buat memang mendapat sambutan tetapi bila dan tiga empat kali buat anak-anak pandang sebelah mata je.


Tartlet buah-buahan ini telah saya ajarkan kepada kawan-kawan semasa murid-murid direhatkan apabila peperiksaan SPM bermula. Alhamdulillah....dapat juga berkongsi resepi dengan kawan-kawan dan ada juga antara mereka yang berjaya membuatnya di rumah...darihaticikgusuzie...

KUIH BAKAR

Resepi kuih bakar ini telah lama saya simpan. Saya memperolehnya di sekolah lama dan seingat saya resepi ini diberikan kepada saya oleh Sumber Ilhamku semasa kami sama-sama satu sekolah. Resepinya cukup senang dan anak-anak memang suka kuih bakar ini. Selalunya apabila kuih ini telah siap dibakar jam-jam tu juga licin dimakan oleh suami dan anak-anak.


Inilah kuih bakarnya. Selalunya kalau pergi ke pasar malam di rumah mak mertua saya, kuih bakar seperti ini memang selalu saya belikan untuk emak mertua saya. Kuihnya memang sedap dan kebanyakannya dibuat oleh orang Jawa di sini. Dan sebagai menantu orang Jawa rasa macam tak adillah pulak kalau saya tidak belajar membuatnya..hehe...darihaticikgusuzie...

KENANGAN LALU...

Berpindah ke sekolah baharu bukan sesuatu yang mudah...7hb. April saya dipindahkan ke SMK Pantai Sepang Putra atas jawatan Penolong Kanan HEM. Penghijrahan kali ini atas tiket saya tidak boleh satu sekolah dengan suami. Terima sajalah. Surat bertarikh 23hb. Febuari telah saya terima dengan tawaran sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Adus....huru-hara hidup saya seketika. Namun atas arahan saya kekal dengan tawaran Guru Cemerlang tetapi masih di sekolah baharu. Dan saya menerimanya.
     Bermulalah satu episod baharu dalam hidup. Tidak banyak kenangan pada tahun 2009 itu kerana belum kenal dan belum cinta kepada sekolah baharu. Saya masih lagi menanam angan-angan akan ditukarkan semula ke sekolah lama. Tahun 2010 muncul dengan penuh gemilang. Tak kenal maka tak cinta. Cinta yang disemai dan dipupuk hari ke hari memberikan satu pengalaman terindah. Menjadi guru kelas 5 Zuhal penuh memori indah. Kelas yang hebat, kecoh, dan sensasi...hehe.


   Ni dia antara murid-murid di kelas saya. Saya besar dan sama tinggi seperti saya. Setiap orang mempunyai ragam tersendiri. Setiap orang mempunyai emosi yang berbeza-beza. Mereka semua seperti anak-anak saya dan kelas selalunya kecoh apabila tiba masa Bahasa Melayu. Tahun berganti tahun. 2011 menyaksikan perkara yang berbeza dengan ragam murid-murid yang cukup berbeza. Namun saya selalu memanjatkan kesyukuran atas segala kurniaan Allah kepada saya yang telah mengurniakan murid-murid yang cukup pandai mengambil hati dan mengambil berat tentang diri saya. Alhamdulillah...darihaticikgusuzie...

KERABU TAUGEH PAKIS MERAH

Saya memang suka makan kerabu. Tak kisahlah kerabu apa. Kerabu taugeh ke, kerabu mangga ke, kerabu sotong ke. Masa musim banyak mangga di rumah saya selalu membuat kerabu mangga. Mangga yang suami tanam di halaman rumah memang tak masam. Jadi apabila dibuat kerabu memang sedap. Idea membuat kerabu mangga ini saya dapati daripada jiran saya. Suatu hari dia meminta mangga yang kami tanam untuk dibuat kerabu dan kemudiannya beliau menghantar satu tupperware ke rumah saya. Memang sedap. Sayapun memerhatikan bahan-bahan yang digunakan dan sejak itu saya suka dengan kerabu mangga.
Kerabu taugeh pakis merah ini saya buat setelah terlihat pakis merah yang dijual di kedai yang berhampiran. Setiap 100gm pucuk muda mengandungi 4.8mg zat besi. Pucuk paku juga mempunyai vitamin A (beta karotene) yang penting untuk menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam. Pucuk ini juga boleh digunakan untuk mengubati cirit birit.



Ini dia kerabu pakis merah. Bila dah dicelur warna merahnya semakin berkurang. Tapi rasanya memang sedap dan lembut. Cubalah...darihaticikgusuzie...

Thursday, 1 December 2011

MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA

Bukan nak menyindir sesiapa ye cuma turut meraikan kemerdekaan anak-anak muridku yang baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Walaupun pada tahun ini tidak menjadi guru kelas namun sebagai guru Bahasa Melayu yang berjumpa dengan anak-anak muridnya 6 waktu seminggu saya rasa saya lebih mengenali anak-anak murid saya. Ketika mereka beremosi, ketika mereka bersedih, ketika mereka bergembira, ataupun ketika mereka tiada mood untuk belajar telah dapat saya teka....sekilas ikan di air sudah kutahu jantan betinanya...sehinggakan pernah saya katakan bahawa "kamu cakap dalam hatipun cikgu tahu..."







Inilah wajah-wajah anak murid saya sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM. Akan saya temuikan anak-anak murid seperti mereka ini pada tahun-tahun akan datang. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam...hehehe...Yang pastinya saya ingin ungkapkan di sini bahawa pengalaman mengajar kalian merupakan pengalaman terindah dalam hidup saya...darihaticikgusuzie...

OMBAK RINDU....

video

CHIPSMORE MAMA

Cookies ni juga kegemaran anak-anak. Bukan susahpun membuatnya cuma kadang kala bila malas tu tiba cekodok yang senangpun malas nak buat. Selalunya saya membuatnya pada sebelah malam. Anak-anak dan suami akan menjadi mangsa untuk membubuh coklat chip atas cookies ni. Masa inilah yang selalu dinanti-nantikan oleh anak-anak...menguji kreativiti menghias cookies dan menguji kesabaran saya mendengar keriuhan mulut masing-masing bercakap.



Nampak sedapkan...rasanya lagi sedap hehehe...Tapi sekarang ni dah banyak cookies yang ready made...bancuh je dah dapat hasilnya....sedappun sedap...darihaticikgusuzie...

STEAMBOAT....

Lagi satu kegemaran keluarga...kalau saya malas nak masak untuk makan malam, inilah yang saya sediakan untuk keluarga. Tepat pukul 5.30 petang pada hari persekolahan apabila suami keluar untuk mengambil anak-anak dari sekolah agama, saya memulakan operasi untuk menyediakan steamboat. Hanya berbekalkan periuk nasi pelbagai guna saya menyediakan supnya. Selalunya saya menggunakan Sup Siam Adabi dan Sup Tom Yam Putih untuk menyediakan supnya...Sosnya pula saya belajar semasa aktiviti makan-makan pada cuti rehat murid-murid sempena PMR pada tahun 2010. Sos yang mudah ini diajar oleh pengetua sekolah saya sendiri. Cuma hiriskan cili padi dan bawang besar kemudian dimasukkan sedikit kicap dan sos cili. Tambah sedikit air, gula dan perahkan sedikit limau kasturi. Bahan-bahan untuk steamboat tu ikut sukakan. Nak gunakan bebola udang ke, bebola sotong ke, jejari ketam ke, bebola ayam ke...ikut sukalah. Dan jangan lupa mi kering Cintan serta kobis cina...


Ha inilah rupanya...lepas anak-anak balik sekolah agama dan siap mandi hidangan inilah menjadi makan malam mereka...senangkan...dan yang paling menyenangkan hati semuanya akan licin tak berbaki...hehe...darihaticikgusuzie...

BAHULU OH BAHULU

Kuih bahulu memang menjadi kegemaran anak-anak semasa hariraya. Ibu mertua saya memang pandai membuat kuih bahulu dan selalunya menjadi. Kini giliran saya pula untuk menunjukkan kehebatan. Setelah dua kali membuatnya nampak gaya raya tahun depan tak payah beli bahulu lagi. Kemenjadian bahulu pada kali kedua membuatnya ini atas tunjuk ajar suami...hehe...hebat rupanya suamiku ini.



Ha inilah bahulu yang pernah saya buat...hehe...adalah sikit rupa bahulukan...Habis licin dimakan oleh anak-anak pada malam itu juga...Saya selalu membuat juadah pada waktu malam apabila semua kerja telah selesai. Tetapi pada musim cuti sekolah tak kira masalah...pagi ke, petang ke, malam ke....selagi ada permintaan daripada anak-anak. Ayat popular anak-anak saya..."mama takde kuih apa-apa ke hari ni?"...darihaticikgusuzie...

PAI AYAM KE PAI DAGING KE POKOKNYA PAI....

Resepi ni saya dapat di internet...Namun atas kesilapan teknik...masa nilah kulit pai ni nak keras...spoil betul...bersungguh-sungguh saya membuat intinya agar menjadi inti yang paling sedang di dunia namun ini pula yang terjadi. Namun pai ayam ini habis dimakan oleh anak-anak, suami dan rakan-rakan.



Sebenarnya banyak yang perlu saya pelajari dalam masak-memasak ni. Itu sebabnya blog ini saya buat bukan untuk mengajar masak cuma menceritakan pengalaman semasa memasa dan, hasil masakan saya. Dan yang paling menyedihkan dekorasi saya selalu tak menjadi...nampaknya kena lebih banyak menuntut ilmu ini...darihaticikgusuzie...

PUDING JAGUNG

Lama sungguh tak buat puding jagung...selalunya saya membuatnya dengan menggunakan tepung kastard tetapi kali ini saya telah mencuba resepi yang menggunakan serbuk agar-agar. Malang sekali anak-anak dan suami tidak menggemarinya."Nape puding jagung mama rasa macam ni" Alamak nampaknya tak lakulah puding jagung hari ni. Seperti biasa suami yang menjadi sumber ilham tetap menikmatinya setelah puding jagung disiram dengan susu cair dan dihias dengan buah-buahan dalam tin. Tetapi dari riak mukanya saya dapat rasakan bahawa suami memang tak menggemarinya.



Hahaha...ni dia. Rupa cantik tapi rasa kureng...ngaku jelah. Tetapi saya takkan menyerah kalah sebelum bertempur di medan masak-memasak ni. Penat-penat sahaja saya mencari acuan yang cantik ni tetapi menyerah untuk tidak membuat puding jagung lagi. Usahakan tangga kejayaan. Kalau murid-murid selalu saya sumbatkan telinga mereka dengan kata-kata ini takkan saya pula nak menyerah kalah...darihaticikgusuzie...

BUBUR SOM-SOM

Resepi bubur som-som telah diberikan oleh kakak saya lama dahulu. Dah bertahun-tahun tidak membuatnya dan baru-baru ini saya membuatnya semula. Oleh sebab santan yang dibeli tidak berapa sedap makan bubur som-som ini agak kureng sedikit rasanya. Namun untuk mengambil hati saya, anak-anak dan suami tetap makan secara terpaksa hehehe....


Bubur som-som ini sedap dimakan sejuk-sejuk. Resepinya ada di internet...hehe...saya bukannya nak ajar memasak ye cuma berkongsi tentang masakan yang saya hasilkan....darihaticikgusuzie..